Di Antara Peristiwa Yang Berlaku Pada Bulan Ramadan
Peperangan Badar (Tahun 2 Hijrah)
Peperangan ini berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah di sebuah telaga yang terletak di antara "Mekah" dan "Madinah". Faktor yang mencetuskan peperangan ini ialah disebabkan kafilah perniagaan milik Quraisy tiba dari "Syam" ke "Mekah". Lalu Nabi s.a.w memerintahkan para sahabat baginda supaya menghalang kafilah tersebut kemudian merampas harta mereka sebagai balasan kepada mereka terhadap harta yang telah dirampas oleh bangsa "Quraisy" di "Mekah".
Apabila Nabi s.a.w bersama angkatan tentera baginda sampai ke tempat yang dirancang supaya berlaku peperangan, baginda mendapat berita bahawa kafilah tersebut telah terlepas dan berjaya mengelak diri setelah panglimanya "Abu Sufian bin Harbin" berjaya menggunakan jalan persisiran pantai yang jauh dari jalan biasa yang dilalui oleh kafilah perniagaan apabila mereka mengetahui bahawa umat Islam telah keluar untuk merampas harta mereka.
Sebelum kafilah perniagaan Quraisy berjaya mengelak diri, "Abu Sufian bin Harbin" telah bertindak dengan seberapa segera menghantar utusan kepada "Quraisy" meminta supaya mereka keluar untuk menyelamatkan harta mereka yang hampir terlepas ke tangan umat Islam menyebabkan mereka keluar seramai lebih kurang seribu orang lelaki untuk berperang. Mereka bersiap sedia untuk berperang sehinggalah mereka diberitahu tentang kejayaan kafilah "Abu Sufian" mengelak diri.
Sebaik sahaja umat Islam mengetahui bahawa kafilah tersebut telah terlepas dari cengkaman mereka, Nabi s.a.w meminta nasihat daripada para sahabat baginda yang terkemuka. Lantas golongan Muhajirin bercakap mengemukakan pandangan kemudian diikuti pula oleh golongan Ansar. Mereka membuat keputusan untuk tetap berada di tempat tersebut sebagai persediaan untuk berkorban dan berjuang pada jalan Allah. Rasulullah s.a.w merasa tenang terhadap pendirian para sahabat baginda, keutuhan penyatuan mereka serta kekuatan hubungan mereka.
Pada masa tersebut orang-orang musyrikin adalah berjumlah seramai lebih kurang seribu orang lelaki yang lengkap bersenjata malah ramai di kalangan mereka yang berkuda. Sedangkan umat Islam pada masa tersebut adalah seramai lebih kurang tiga ratus tiga belas orang lelaki.
Peperangan mula berlaku pada pagi hari ketujuh belas Ramadan. Pasukan tentera terus bertembung dan peperangan berlaku semakin rancak dan hebat malah Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda berperang dengan menggunakan sepenuh kekuatan. Rasulullah s.a.w berdoa kepada Allah s.w.t supaya memberikan kemenangan kepada umat Islam di dalam menentang tentera musyrikin. Allah mengabulkan doa Nabi-Nya menyebabkan peperangan berakhir dengan kemenangan yang sangat cemerlang bagi umat Islam dan kekalahan yang sangat teruk bagi golongan musyrikin yang terbunuh seramai tujuh puluh orang dari kalangan mereka, seramai jumlah ini juga di kalangan mereka yang ditawan manakala yang selebihnya berjaya melarikan diri. Hasil dari peperangan ini, umat Islam mendapat harta rampasan perang yang mereka tinggal secara melimpah ruah. Seramai empat belas orang sahaja di kalangan umat Islam yang gugur syahid dan janji-janji Allah telah terbukti dengan memberikan kemenangan kepada umat Islam yang berjumlah sedikit di atas kejayaan mereka mengalahkan golongan musyrikin yang berjumlah jauh lebih ramai daripada mereka.
Umat Islam sangat gembira di atas kemenangan ini, mereka pulang ke Madinah dengan diketuai oleh Rasulullah s.a.w sambil membawa harta rampasan perang dan memimpin orang-orang tawanan yang terikat dengan rantai. Melihat tindakan sedemikian, Rasulullah s.a.w memerintahkan umat Islam supaya berbuat baik kepada orang-orang tawanan serta memberi makan kepada mereka
Di Antara Peristiwa Yang Berlaku Pada Bulan Ramadan
Peperangan Ain Jalut (Tahun 658 Hijrah)
Holako selaku panglima tentera Monggol telah menghantar ugutan kepada Saifuddin Qutuz, Sultan Mamalik di Mesir sebagai ancaman keras kepadanya setelah beliau menghalangi mereka memasuki Mesir. Di samping itu Holako juga mengingatkan kepadanya tindakan yang telah dilakukan oleh Monggol terhadap Baghdad, Halab dan Damsyik tetapi Qutuz menolak ancaman tersebut. Malah Qutuz terus membentuk angkatan tentera Mesir Mamalik yang kuat lengkap dengan kesemua peralatan perang. Seterusnya dia membawa tentera tersebut sehinggalah bertemu dengan angkatan tentera Monggol di Ain Jalut di sebelah tenggara Haifa, Palestine. Di dalam pertempuran ini umat Islam berjaya mengalahkan tentera monggol dengan kekalahan yang teruk pada tarikh 25 Ramadan tahun 658 Hijrah. Tentera Monggol yang masih hidup lari ke timur dari Ain Jalut. Kemudian mereka dikejar oleh Qutuz dan pembantunya, Az-Zahir Bibers dan mereka juga berjaya dikalahkan sekali lagi. Setelah itu Qutuz terus memasuki Syria sehingga kesemua kawasan di sana menjadi tenang.
Di Antara Peristiwa Yang Berlaku Pada Bulan Ramadan
Pembukaan Kota Mekah (Tahun 8 Hijrah)
Perjanjian Hudaibiah telah berjaya ditandatangani di antara umat Islam dengan orang-orang Qurasiy. Orang-orang Quraisy sentiasa mengikuti syarat-syarat tersebut selama setahun dan beberapa bulan. Tetapi akhirnya mereka melanggar juga perjanjian ini ketika ingin membantu Kabilah "Bani Bakar" sekutunya, di dalam memerangi Kabilah "Khuzaah" sekutu Rasulullah s.a.w. Lalu Khuzaah meminta bantuan daripada Rasulullah s.a.w sebagaimana telah mereka sepakati. Lantas Rasulullah s.a.w bersetuju untuk memberikan bantuan kepada mereka dan baginda bersiap-sedia untuk menyerang Kota Mekah.
Pada awal minggu kedua bulan Ramadan, tahun 8 Hijrah, Rasulullah s.a.w berangkat bersama-sama dengan pasukan tentera seramai sepuluh ribu orang tentera untuk membuka Kota Mekah.
Nabi s.a.w telah berusaha untuk memasuki Mekah tanpa berlaku peperangan kerana Mekah merupakan bumi Allah yang suci, bumi Allah yang paling baginda cintai malah di dalamnya terdapat kaum kerabat baginda. Oleh yang demikian baginda mengeluarkan arahan tegas serta jelas kepada angkatan tentera Islam supaya tidak mencetuskan peperangan kecuali jika mereka diperangi.
Ternyata pada tarikh 20 Ramadan, tentera Islam berjaya memasuki "Kota Mekah" tanpa berlaku peperangan kecuali berlaku sedikit ketegangan di arah yang dilalui oleh pasukan yang dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid di gunung "Khandamah".
Nabi s.a.w berjaya memasuki Mekah dalam keadaan membuat pembukaan dan mendapat kemenangan di mana tempat tersebut merupakan tempat beliau diusir, 8 tahun sebelum itu. Kemudian baginda memasuki Kaabah, melakukan Tawaf di sana, seterusnya baginda memusnahkan sendiri berhala-berhala yang terdapat di sana sambil membaca firman Allah:وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
Yang bermaksud: Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam) dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap. (Surah Al-Israa', Ayat: 81).
Baginda tidak berfikir sama sekali untuk membalas dendam kepada penduduk Mekah. Bahkan baginda mengumpulkan mereka dan bersabda kepada mereka: "Apakah tindakan yang kamu rasa aku akan laksanakan kepada kamu semua?" Mereka menjawab: "Kelakuan yang baik. Kamu adalah saudaraku yang mulia dan anak saudaraku yang mulia". Lalu Nabi bersabda: "Pergilah! Kamu semua adalah bebas".
Dengan tindakan ini, Nabi memberikan contoh yang paling unik di dalam memberikan kemaafan dan toleransi semasa kita berkemampuan untuk melaksanakannya.
Perasaan menang dan kuat tidak mencetuskan sikap ingin membalas dendam kepada orang-orang yang pernah menyakiti baginda. Bahkan baginda lupa kepada semua jenis penyeksaan yang pernah mereka lakukan terhadap diri baginda dan para sahabat.
No comments:
Post a Comment